KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian dan penghinaan yang melibatkan institusi diraja di media sosial serta aplikasi pemesejan.
Pihak Momunikasi Korporat SKMM berkata, peringatan itu dibuat susulan perkongsian oleh individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan berbentuk penghinaan terhadap institusi diraja.
“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,
“SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik melibatkan institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik yang melibatkan institusi diraja.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.
“Oleh itu, orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menghina institusi diraja sebaliknya melaporkan perkara itu kepada SKMM di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan PDRM,” jelasnya lagi. -airtimes.my