Pasir Gudang, 17 Mac – Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan BN Johor telah menyerahkan senarai nama calon yang akan dipertaruhkan untuk bertanding pada PRU14 kepada BN pusat.
Menurut beliau, kini semuanya terpulang kepada pucuk pimpinan BN bagi tindakan seterusnya.
“Semua nama-nama dan perbincangan mengenai calon sudah selesai”.
“Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk putuskan yang mana dia setuju,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasar Muafakat Sabah@Johor di Bandar Seri Alam di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memberitahu BN sudah selesai menetapkan senarai akhir calonnya.
Ditanya mengenai soal agihan kerusi BN di Johor, Mohamed Khaled berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan dan ia tertakluk kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak.