[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=gCxCzaBSNTU[/embedyt]
SINDIKET penyeludupan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia dikesan menggunakan teknologi dron dalam menjalankan kegiatan jenayah mereka.
Dron digunakan oleh tekong untuk menggelak aktiviti mereka dikesan dan ditangkap oleh pasukan keselamatan yang menjalankan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) di perairan negara.
Perkara ini dikongsikan oleh Pegawai Gerakan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Mejar Fairuz yang terlibat dalam Op Benteng di kawasan sempadan selatan tanah air kepada Air Times News Network baru-baru ini.
Mejar Fairuz berkata, tekong menggunakan dron sebagai penunjuk arah pendaratan PATI dan mengesan pasukan keselamatan.
“Modus operandi PATI akan sentiasa berubah kebiasaannya dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Laut.
“PATI akan mendarat di bahagian selatan Johor manakala pada bulan April hingga Oktober PATI akan lebih cenderung mendarat di pantai timur Johor,” katanya kepada Air Times.
Tekong guna dron kesan pasukan keselamatan
Beliau berkata, setelah dron diterbangkan mereka (tekong) akan menanda tempat panduan di kawasan pantai bagi memudahkan pendaratan PATI dan bagi mengesan pasukan keselamatan yang sedang membuat rondaan.
“Apabila tempat tersebut dikenal pasti, tekong akan menggunakan satu dron itu sebagai tanda panduan terus ke pantai,
“Sebelum ini, pendaratan biasanya dilaksanakan pada waktu air pasang atau air mati. Tetapi apa yang berlaku pada sekarang, PATI akan dilepaskan di laut dengan jarak 100 ke 200 ratus meter dimana merka akan berenang ke pantai,” ujarnya.
Dron sebagai penunjuk pendaratan PATI
Selain itu, Mejar Fairuz berkata, kebanyakan dron tekong ini dikesan berlegar-legar sebelum berlakunya pendaratan PATI di kawasan titik panas (hotspot) yang telah dikenalpasti.
“Setelah membuat pemerhatian, kita (pasukan) boleh menjangkakan bila PATI itu akan mendarat. Sebagai contohnya, apabila dron muncul di kawasan-kawasan hotspot,
“Manakala, pada sebelah petangnya, kita akan tengok kumpulan tonto akan keluar masuk di kawasan tersebut,
“Dalam tempoh masa 3 hingga 4 jam, pasti akan ada dron terbang di kawasan sekitar,” jelasnya.
Menurutnya, dron ini secara tidak langsung menjadi penanda (indicator) kepada pasukan keselamatan untuk menjangkakan di mana berlakunya pendaratan PATI.
“Tetapi ada juga kes dimana terdapat 2 tempat yang dinaikkan dron, dimana satu tempat itu dijadikan sebagai penanda dan PATI akan naik daripada tempat lain,
“Tekong tahu bahawa pasukan keselamatan telah menjangkakan penggunaan dron sebagai modus operandi mereka, dia (tekong) telah melakukan helah kepada pasukan keselamatan,
“Di mana dron telah dinaikkan tempat lain, dan PATI naik di tempat lain sebagai mengalihkan perhatian kita (pasukan keselamatan) kepada dron itu tadi, tetapi itu jarang-jarang berlaku,” ujarnya. – airtimes.my