Pertandingan itu disahkan selepas Pengurus Pilihan Raya Parlimen Port Dickson , Khairy Maamor mengumumkan senarai calon yang bertanding pada pukul 11 pagi ini.

PH diwakili Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon Pas ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57.

Sementara dua calon Bebas terdiri daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69 dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33.

Tiga lagi calon Bebas lain ialah Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45, manakala pencalonan A. Rajendra, 50,  sebagai calon Bebas ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses penamaan calon bagi PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson dibuka pada 9 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini.

Ia diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Seramai 75,770 pemilih berdaftar dengan 68,468 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan 13 Oktober depan sebagai hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 9 Oktober 2018.

PRK Parlimen Port Dickson merupakan PRK keempat diadakan sejak PRU-14 iaitu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor.