Kementerian Pertahanan dalam kenyataan media berkata, misi pelaksanaan penghantaran pulang rangka ini yang dinamakan Operasi Te Auraki melibatkan mereka yang meninggal dunia semasa berkhidmat di Vietnam dan Malaysia.

“Terdapat 34 anggota dan keluarga Tentera New Zealand yang terkorban di Malaysia mulai tahun 1955 sehingga 1971, namun begitu, enam rangka anggota masih belum mendapat persetujuan keluarga untuk dibawa pulang manakala 27 rangka askar Tentera Darat New Zealand dan seorang kanak-kanak yang merupakan ahli keluarga anggota Tentera New Zealand yang berkhidmat di Malaysia akan digali.

“Pelaksanaan Operasi Te Auraki ini secara profesional di antara Malaysia dan New Zealand akan membuka lembaran kerjasama baru khususnya dalam bidang arkeologi forensik setelah Kementerian Pertahanan mengambil kira kejayaan Malaysia membantu kerajaan British dalam Operasi Dakota pada tahun 2008, Operasi Gangga bersama kerajaan Amerika pada tahun 2015 dan Operasi Reunites bersama Australia pada tahun 2016,” kata Kementerian Pertahanan.

Proses penggalian akan dilaksanakan selama 48 hari bermula pada hari ini melibatkan tiga tempat iaitu Tanah Perkuburan Komanwel Terendak, Tanah Perkuburan Kristian Taiping dan Tanah Perkuburan Komanwel Cheras.

Pihak Muzium Tentera Darat Port Dickson, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia, Pusat penyelidikan Arkeologi Global dan Institut Alam Tamadun Melayu dari Kementerian Pengajian Tinggi serta universiti-universiti tempatan yang mempunyai kepakaran antropologi, patologi dan radiologi forensik serta disiplin arkeologi turut serta dalam kerja-kerja pengesahan dan pengenalan mangsa selain mendapat bantuan daripada ahli bioarkeologi dan ahli antropologi forensik dari universiti di New Zealand serta NZDF ondotolgi forensik yang diketuai oleh pegawai perubatan NZDF.