LUMUT, 25 SEPT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuhkan keselamatan maritim di perairan Selat Melaka melalui pelaksanaan Operasi Patroli Terkoordinasi (Op PATKOR MALINDO) Siri 161/23 bersama Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) menjelaskan, operasi tersebut telah dilaksanakan sejak 6 hingga 19 September lalu.
Menurutnya, operasi gabungan ini merupakan rondaan terkoordinasi yang dilaksanakan oleh TLDM dan TNI-AL bagi mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan jenayah rentas sempadan sekaligus menjamin keselamatan serta keamanan pengguna Selat Melaka yang merupakan antara laluan perkapalan utama dunia.
“TLDM telah diwakili oleh KD LAKSAMANA HANG NADIM dan KD HANDALAN manakala TNI-AL diwakili oleh KRI SURIK dan KRI PARANG,
“Operasi rondaan di laut yang dilaksanakan mulai 8 hingga 17 September telah meningkatkan tahap kesiagaan operasi dan kesalingoperasian antara TLDM dan TNI-AL dalam menjaga keselamatan perairan Selat Melaka daripada sebarang bentuk ancaman,” jelas MPA Barat dalam satu kenyataan.
Majlis Pembukaan Op Patkor Malindo 161/23 telah berlangsung di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi pada 7 September lalu manakala Majlis Penutup telah dilaksanakan di Pangkalan Utama Angkatan Laut I (LANTAMAL 1), Belawan, Indonesia pada 18 September 2023 yang dihadiri oleh kedua-dua wakil angkatan laut dan warga kapal yang terlibat.
Tambah MPA Barat, pelbagai aktiviti bagi memupuk kesefahaman dan esprit de corps di kalangan peserta terlibat turut dianjurkan.
“Ia meliputi perbincangan Pegawai Operasi, sukan persahabatan dan majlis resepsi,
“Kerjasama yang bermula sejak tahun 1983 ini bukan sahaja menyuburkan hubungan erat antara Malaysia-Indonesia malah membuktikan keupayaan TLDM dan TNI-AL dalam memelihara keselamatan di perairan Selat Melaka,” jelas kenyataan itu lagi.-airtimes.my