KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, membuktikan badan kehakiman negara bebas tanpa dipengaruhi pihak berkuasa dalam politik.
Beliau berkata, keputusan dibuat mengikut fakta itu membolehkan negara bersih daripada segala rasuah.
“Ini membuktikan, rakyat sebenarnya berkuasa. Rakyat membuat keputusan pada tahun 2018 dalam memastikan badan kehakiman bebas dan dibersihkan negara daripada rasuah,
“Keputusan rakyat inilah yang membolehkan pendakwaan yang profesional. Ketegasan dan keberanian badan kehakiman membuat keputusan mengikut fakta serta hukum, bukan mengikut telunjuk politik pihak berkuasa yang kita alami selama puluhan tahun,
“Sekarang ada perasaan lega, selain melahirkan penghargaan kepada hakim hakim berani dan berwibawa, tunduk kepada fakta serta hukum. Bukan tunduk kepada penguasa politik,” katanya dalam video yang dimuatnaik dalam hantaran di media sosialnya pada Selasa.
Dalam video yang sama, beliau menjelaskan suasana dan iklim politik boleh berubah sekiranya rakyat bijak memilih kerajaan.
“Tetapi ingatlah, rakyat bila memutuskan dengan bijak, anak muda boleh menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah,” tegasnya.
Mahkamah Persekutuan menerusi panel 5 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan menolak rayuan akhir Najib berhubung sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta berhubung salah guna kuasa, pengubahan wang haram termasuk pecah amanah jenayah.
Selain Tengku Maimun, turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim serta Mohamad Zabidin Diah.
Najib tiba di Penjara Kajang pada jam 6.05 petang tadi selepas hukuman dikekalkan mahkamah tertinggi itu.
Najib pada 28 Jul 2020 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas 3 tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kuasa, dan 3 tuduhan pengubahan wang haram, berhubung dana RM42 juta dikaitkan dengan SRC. -airtimes.my