GEORGETOWN, 11 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Maritim Negeri Pulau Pinang menahan sebuah kapal kargo kerana berlabuh tanpa kebenaran kira-kira 5.9 batu nautika (10.9 kilometer) Utara Teluk Bahang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata pemeriksaan pasukannya pada jam 7.15 petang semalam menemui sebuah kapal kargo ‘MV DANUM 171’ dengan 146 meter panjang dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Laut.
“Kapal yang didaftarkan di Malaysia itu dikendalikan 20 kru, termasuk seorang nakhoda (master) dengan enam daripada mereka warga China, tujuh warga Filipina, empat warga Indonesia, dua warga Myanmar dan seorang warga tempatan,
“Kesemua mereka dianggarkan berusia antara 22 sehingga 56 tahun,” ujarnya.
Hamizan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.
“Maritim Pulau Pinang akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di sekitar Perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara,” tambah kenyataan itu.