KOTA TINGGI, 10 Dis – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi dan Pengerang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 260 ekor burung murai batu ke negara jiran di kawasan tepi pantai Sungai Rengit, semalam.
Komander PPM W2, ACP Muhd Zailani Abdullah berkata operasi telah dijalankan oleh 2 pegawai dan 12 anggota dalam Op Benteng berjaya mengesan sebuah kenderaan dan menahan seorang warga tempatan berusia 42 tahun.
“Dalam serbuan oleh pasukan telah merampas 260 ekor disyaki burung murai batu serta sebuah kereta yang digunakan suspek,
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM108,000,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM.
Muhd Zailani berkata tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Tektikal PPM W2 Pengerang untuk proses siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” ujarnya. – airtimes.my