KUALA LUMPUR, 30 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memperkasakan peranan wanita bagi membolehkan mereka menyandang jawatan yang lebih tinggi dalam tugas am TDM serta meningkatkan daya saing bersama anggota lelaki TDM.
Sehubungan itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah menyarankan pihak pengurusan termasuk pengarah Kor dan Rejimen TDM untuk merancang perkembangan kerjaya wanita TDM agar laluan kerjaya mereka menjadi lebih baik serta berdaya saing.
Beliau juga menegaskan agar Pegawai Tidak Tauliah terkanan wanita perlu dilantik menganggotai jawatankuasa ini sebagai penghubung bagi membawa permasalahan anggota wanita ke peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan kebajikan anggota wanita sentiasa terpelihara.
“Adalah diharapkan, wanita TDM khasnya dan seluruh warga TDM amnya, dapat mempraktikkan 3 prinsip dan 5 tonggak yang telah digariskan dalam perintah ulung saya,
“Saya menyeru semua wanita TDM agar terus berganding bahu dan berdiri teguh bersama-sama untuk memperkasakan segala usaha yang diperlukan bagi mewujudkan sebuah organisasi yang siaga, profesional dan terlatih,” katanya.
Zamrose berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Tentera Darat ke-56 tahun 2021 yang diadakan di Auditorium Kementerian Pertahanan, hari ini.
“Dalam mencorak pelan strategik wanita TDM, adalah penting untuk setiap pegawai dan anggota wanita TDM memainkan peranannya dalam memastikan visi dan misi TDM dapat dicapai,
“Seiring dengan tema sambutan Hari Wanita TDM pada tahun ini iaitu Wanita Waja: Wanita bangkit mendepani cabaran’, anggota wanita perlu berani mencuba sesuatu yang baru dan bersedia meningkatkan keupayaan diri agar menjadi lebih terampil serta cermelang pada masa akan datang,” tambahnya.
Sempena sambutan hari istimewa ini juga, 2 orang srikandi yang telah mengharumkan nama TDM telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan. Kedua-dua srikandi ini menerima ‘Pisau Tentera Darat’, yang dianugerahkan kepada individu yang merekodkan pencapaian cemerlang serta luar biasa semasa perkhidmatannya.
Penerima pertama adalah Mejar Noorsyahiddawati Abdullah Sani, pegawai wanita Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) yang merupakan bekas Pesilat Negara . Beliau telah diiktiraf sebagai pegawai wanita pertama menerima Anugerah Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (MSAT) pada tahun 2019 dengan penganugerahan Pingat Perak.
Penerima kedua pula adalah Koperal Nurul Farhanah Johari, anggota wanita Kor Perkhidmatan Am (Bahagian Kerani). Beliau merupakan ahli Tim Angkat Berat Wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya memenangi 3 pingat emas dan turut memecahkan rekod kebangsaan ketika bertanding di dalam Kejohanan Sukan Asian Championship Kazakhstan pada tahun 2019. –airtimes.my