PKPD SIMPANG RENGGAM – Penggunaan talian hotline di Bilik Gerakan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) merupakan medium yang berkesan dan pantas bagi mengumpul segala maklumat berkaitan penduduk yang terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penolong Pentadbir Tanah, Pejabat Tanah Daerah Kluang, Mohamad Aliff Zakuan Hisham berkata talian yang telah dibangunkan oleh pihak MDSR setelah kerajaan mengumumkan dua kawasan di Simpang Renggam dikenakan PKPD ini mampu melicinkan pengoperasian bilik gerakan MDSR dalam menangani semua permasalahan penduduk ketika kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan bagi mengekang penularan wabak pandamik COVID-19.
Mohamad Aliff yang merupakan ketua unit kepada pengurusan aduan di bilik gerakan ini berkata pihaknya berperanan menguruskan segala aduan yang diketengahkan oleh penduduk ketika PKPD melalui talian hotline MDSR iaitu 1-300-886-377 yang disediakan.
“Kami telah mengumpulkan segala aduan yang diterima serta mengasingkan maklumat aduan itu untuk dibahagikan kepada agensi yang telah ditetapkan,
“Pihak kami telah menampal nombor talian hotline MDSR pada kit makanan asas dimana semua penduduk menerimanya dan daripada situ ia dipanjangkan kepada semua penduduk,” tambahnya lagi.
Selain itu Mohamad Alif menjelaskan pemberian tong gas adalah salah satu daripada keperluan tambahan yang disalurkan oleh Bilik MDSR kepada penduduk yang terjejas ekoran PKPD.
“Hampir 600 buah tong gas telah diberikan kepada penduduk di Kampung Dato’ brahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid yang telah diisytiharkan oleh kerajaan sebagai kawasan pertama dikenakan PKPD,
“Tong gas merupakan keperluan asas yang penting di setiap buah rumah. Dan disebabkan itu, pihak kami mengambil inisiatif untuk menyalurkan keperluan asas tersebut kepada mereka yang terjejas,
“Penghantaran bekalan makanan harian dan keperluan tambahan termasuk tong gas ini dilaksanakan bersama Pejabat Perhutanan Daerah Kluang dan Pejabat Tanah Daerah Kluang setiap hari dalam dua sesi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Beliau menjelaskan pelbagai agensi turut terlibat dalam melicinkan perjalanan penguatkuasaan PKPD ini. Antaranya ialah Pejabat Tanah Daerah Kluang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kluang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kluang, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Pejabat Perhutanan Daerah Kluang serta beberapa agensi yang lain.
“Berdasarkan aduan yang diterima juga, kami telah menggunakan perkhidmatan anggota bomba untuk kes-kes kecemasan yang bukan berkaitan dengan wabak COVID-19,
“Pihak JKM pula akan menyediakan satu data hasil dari aduan yang telah kami kumpulkan untuk pihak MAIJ membuat pembelian,” tambahnya lagi.
Sementera itu, bagi Amil Baitulmal Daerah Kluang, Al-Azhar Ahmad Fadzil berkata setiap agensi yang terlibat memainkan peranan yang penting untuk melicinkan perjalanan penyerahan bantuan bekalan makanan harian kepada penduduk yang terjejas di Simpang Renggam.
“Setiap jabatan/agensi akan memberi laporan harian untuk memudahkan penyaluran bekalan harian dibuat,
“Penduduk yang terjejas atau terputus bekalan makanan akan menghubungi talian yang disediakan untuk memaklumkan segala keperluan yang diperlukan,
“Selepas itu, pihak urus setia akan membuat senarai keperluan dan mengaggihkan penyata keperluan kepada agensi yang telah ditetapkan untuk sesi pembelian,” jelasnya.
Al-Azhar berkata pihaknya berperanan untuk mengusruskan segala bantuan keperluan tambahan yang tidak disediakan dalam pek makanan asas seperti pampes bayi, susu, sabun dan gas memasak.
“Segala sumber dari Pejabat Agama ini adalah daripada sumber zakat yang dikumpulkan sepanjang tahun,” tambahnya lagi.
PKPD di Simpang Renggam yang bermula pada 27 Mac lalu melibatkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid. Kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan PKPD di kawasan itu sehingga 28 April 2020, susulan peningkatan penambahan kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk.
Perintah PKPD ini membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga.
Sehingga semalam (22 April), terdapat 183 kes postif melibatkan penduduk Bandar Baru Ibrahim Majid dan 4 kes kematian. Manakala bagi kawasan sekitar Bandar Baru Ibrabim Majid pula, terdapat sebanyak 39 kes positif dilaporkan.