[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=SfyYVOgkicA[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Menteri Kanan Pertahan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd (HOSB) bertanggungjawab sepenuhnya untuk membuat pembayaran denda sekiranya berlaku kelewatan di pihak syarikat dalam membekalkan helikopter MD-530G.
Beliau berkata, nilai tuntutan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) ini akan ditentukan selepas proses penerimaan helikopter (Final Acceptance Test (FAT)) selesai dilaksanakan.
“Alhamdulillah, sukacitanya untuk saya maklumkan dalam Dewan Yang Mulia ini, keenam-enam MD-530G telah selamat tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Februari 2022,
“Pada masa ini, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan proses penerimaan FAT bagi keenam-enam helikopter berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurut Hishammuddin, sekiranya HOSB gagal menjelaskan tuntutan denda lewat, maka pihak kerajaan akan menggunapakai Klausa 24 – Set Off dengan memotong tuntutan invois kontrak daripada syarikat tersebut sebagai ganti pembayaran denda lewat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan perolehan helikopter buatan Amerika Syarikat (AS) ini adalah berdasarkan kepada keperluan semasa Tentera Darat Malaysia (TDM).
Katanya, bagi menjawab soalan dari Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli yang bertanyakan apakah keperluan sebenar untuk perolehan helikopter MD-530G semasa ia ditempah dahulu.
Tambahnya, helikopter ini berperanan sebagai pesawat tempur ringan dan dilengkapi dengan kuasa tembakan (firepower) jenis Gatling Gun 7.62mm, Heavy Machine Gun 12.7mm serta Rocket Launcher 70mm.
“Keupayaan kuasa tembakan yang dimiliki oleh pesawat ini juga mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri dalam jarak 500 meter ke 7 kilometer,
“Ketangkasan (agility) helikopter ini juga membolehkan ianya melaksanakan tugas tinjauan udara,
“Helikopter ini akan diaturgerakkan untuk membantu ketumbukan Tempur TDM yang lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah serta Sarawak,” jelasnya. – airtimes.my