SURABAYA, 6 Sept – Eksesais Bilateral Malaysia-Indonesia Siri 26AB/22 (MALINDO JAYA 26AB/22) di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) telah dilaksanakan mulai 29 Ogos sehingga 4 September lalu di Pangkalan Komando Armada II (KOARMADA II), Surabaya dan perairan Laut Jawa.
Eksesais ini melibatkan oleh KD LEKIU, KD SRI INDERA SAKTI dan pesawat Super Lynx dari TLDM serta aset TNI-AL iaitu KRI RADEN EDDY MARTADINATA serta KRI TOMBAK disamping aset sokongan yang lain.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan memaklumkan, pelbagai siri latihan di pangkalan telah dilaksanakan meliputi Command Post Exercise (CPX) dan perbincangan Pegawai Operasi dan Subject Matter Expert Exchange (SMEE) KOPASKA-PASKAL.
“Selain itu, turut diadakan latihan di laut pula merangkumi pelbagai aspek peperangan konvensional dan juga keselamatan maritim,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, eksesais telah dirasmikan oleh Panglima Komando Armada II, Laksamana Muda T.S.N.B Hutabarat TNI-AL dan disaksikan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis pada 29 Ogos 2022.
Manakala upacara penutup telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Operasi, Markas Pemerintahan Armada Barat, Kepten Shaharuddin Bongsu TLDM selaku Timbalan Pengarah atau WADIRLAT Eksesais.
“Selain daripada aktiviti-aktiviti eksesais, kedua-dua angkatan laut juga telah mengukuhkan ukhwah melalui aktiviti sukan dan sosial,
“Antara aktiviti sukan yang dilaksanakan adalah Senaman Raksasa serta Larian MALINDO dan Sukan Bola Tampar,
“Aktiviti sosial seperti Majlis Makan Malam Rasmi MALINDO anjuran TNI-AL dan Majlis Resepsi anjuran TLDM turut diadakan,” tambahnya.
Tambah TLDM, warga The Navy People turut meraikan malam ambang merdeka di Dermaga Madura Tengah, KOARMADA II pada malam 30 Ogos 2022 sempena Hari Kemerdekaan Negara.
Eksesais MALINDO JAYA 26AB/22 telah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kerjasama dan interoperability TLDM dan TNI-AL.
“TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak TNI-AL sebagai hos kepada eksesais kali ini di atas komitmen dan dedikasi bagi menjayakan eksesais serta layanan kelas pertama kepada delegasi TLDM,” jelas TLDM. -airtimes.my