GEORGETOWN, 26 Nov – Dua buah bot nelayan tempatan Kelas C telah ditahan 7.30 pagi semalam pada jarak 10.1 batu nautika dan 10.4 batu nautika dari Barat Pulau Betong oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri Pulau Pinang ketika menjalankan Op Pertiwi.
Kepten Maritim, Hamizan Harun berkata kedua-dua bot yang ditahan melakukan kesalahan menangkap ikan luar daripada kawasan yang telah ditetapkan untuk mereka.
“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh warga Thailand berumur lingkungan 38 hingga 63 tahun berada di atas bot dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di bawah 15 batu nautika,
“Kedua-dua bot tersebut bersama empat gulung pukat tunda bersama papan tunda, 400kg ikan baja, 400kg ikan campur, dua tekong dan lima awak-awak telah ditahan,” tambah beliau.
Kesemua tahanan dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat MN Pulau Pinang,
Hamizan mengingatkan pengusaha bot pukat tunda agar mengikut segala peraturan dan mematuhi sistem yang telah ditetapkan dalam lesen masing-masing berkaitan pengezonan kawasan penangkapan ikan.