LUMUT, 22 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) terus perkukuhkan kerjasama maritim menerusi pelaksanaan OP PATKOR MALINDO siri 155/22 di perairan Selat Melaka mulai 17 sehingga 31 Mac ini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, operasi pada kali ini melibatkan aset KD TEGUH SAMUDERA dan KD JERAI bagi TLDM.
Manakala TNI-AL menugaskan KRI LEPU dan KRI SILEA.
“Penugasan rondaan di laut bagi aset yang terlibat dilaksanakan mulai 19 sehingga 29 Mac ini,
“Penugasan ini bagi memupuk kesepaduan dan kesefahaman bersama mengenai kepentingan pemeliharaan tahap keselamatan perairan Selat Melaka disamping mengukuhkan keyakinan komuniti maritim,” katanya.
Menurutnya, OP PATKOR MALINDO yang merupakan kerjasama Malaysia dan Indonesia ini menggariskan matlamat memperkasakan rondaan penguatkuasa perundangan maritim di perairan kedua negara.
“Usaha ini bagi menentukan kedaulatan perairan Selat Melaka kekal selamat dan terpelihara,
“Selain itu, operasi ini juga adalah merupakan rondaan koordinasi bersama kedua negara yang telah terlaksana sejak termeterainya Prevention of Sea Incident Cooperative Guidelines (MALINDO INCSEA) pada 18 Januari 2001,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia akan terus disuburkan dalam memastikan perairan Selat Melaka sentiasa bebas dari sebarang ancaman akitivi rentas sempadan.
“Ancaman lain seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan, pelanunan dan juga rompakan di laut yang bertentangan dengan undang-undang kedua-dua negara,” jelasnya.
Pada masa sama, TLDM akan sentiasa memanfaatkan peluang untuk beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi keselamatan maritim negara sebilang masa. – airtimes.my