GEORGE TOWN, 9 Mac – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif menjalankan saringan suhu badan terhadap kakitangan, pelawat dan orang kenamaan (VIP) yang ingin memasuki bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini sebagai usaha mencegah penularan COVID-19, bermula hari ini.
Proses saringan itu dilaksanakan oleh 15 petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di empat pintu masuk utama pusat pentadbiran kerajaan negeri itu yang terletak di aras satu, dua dan tiga bermula pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari bekerja.
Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata pihaknya menempatkan pegawai MBPP untuk membantu kerajaan negeri Pulau Pinang menjalankan saringan suhu badan bagi memastikan semua orang yang berurusan di Komtar sihat serta tiada simptom COVID-19.
“Langkah saringan itu seiring dengan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi berkata pihaknya menyambut baik langkah yang diambil kerajaan negeri itu dalam usaha mencegah penularan virus berkenaan.
“Ini merupakan satu inisiatif yang baik daripada pihak pengurusan, secara tidak langsung boleh meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan dan orang awam supaya terus menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.
Tinjauan Bernama di bangunan Komtar mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui menyambut baik usaha berkenaan dan mereka berharap langkah itu dapat diperluas ke bangunan kerajaan yang lain.
Seorang peniaga Mohd Ashraf Azali, 39, berkata insiatif ini akan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mereka yang tidak sihat terutama mempunyai simptom COVID-19 tidak ke tempat tumpuan agar dapat membendung penularan virus itu.
“Orang ramai berurusan di Komtar dan pejabat-pejabat kerajaan setiap hari dan kita tidak tahu dari mana mereka datang atau sejarah perjalanan mereka. Jadi, pada saya inisiatif ini sangat baik, sekurang-kurangnya kita dapat bendung penularan kerana yang mempunyai suhu tinggi iaitu demam tidak bercampur dengan yang lain (orang ramai),” katanya. – Bernama