[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=PzWQTa8v9qE[/embedyt]
GEMAS, 14 Feb – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan Selasa lalu akan diserahkan kepada agensi penyelamat selepas 10 hari misi itu dilaksanakan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain memaklumkan, misi pencarian tersebut akan diberhentikan pada Khamis ini sekiranya masih tidak menemui tanda-tanda penemuan baharu.
Zamrose berkata, selepas ia ditamatkan, pihaknya akan menunggu maklumat daripada agensi penyelamat yang membuat rutin rondaan harian sekiranya menemui petunjuk baharu.
“Misi mencari anggota komando yang hilang masuk hari kelapan. Kita sudah cari dari hari pertama dia hilang sampai sekarang. Operasi mencari melibatkan Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota komando kita sendiri,
“Semalam saya difahamkan, mengikut prosedur operasi standart (SOP) tertentu, 7 hari pencarian bagi pihak PDRM, TLDM sudah tamatkan misi pencarian,
“Tetapi bagi anggota komando (TDM) dan pasukan penyelamat akan meneruskan pencarian sehingga hari yang ke-10,
“Kalau dah 10 hari tak jumpa juga, kita akan tunggu laporan dari pihak PDRM, TLDM dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang membuat rondaan atau penduduk kampung yang jumpa, mereka akan lapor kepada balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ladang Integrasi Tentera Darat, di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, anggota GGK dan pasukan penyelamat akan meneruskan pencarian komando yang hilang sehingga hari yang ke-10.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga meminta bantuan dari penduduk setempat dan nelayan berikutan mereka lebih mahir di kawasan tersebut.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan kerajaan juga telah meminta bantuan dari pihak keselamatan Indonesia untuk mengesan mangsa tersebut.
“Kita juga ada maklum pihak Indonesia. Sebab mengikut perkiraan keadaan mengatakan kemungkinan mayat anggota tersebut hayut ke perairan Indonesia,” ujarnya lagi.
Pada 7 Feb lepas, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang merupakan anggota Tentera Darat, dipercayai daripada Grup Gerak Khas (GGK), dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Mangsa dikatakan hilang ketika eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama 6 pegawai dan 37 peserta kursus dari PULPAK Sungai Udang. -airtimes.my