PUTRAJAYA, 17 Jun – Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis memasuki hari ke-16 hari ini.
RCI berkenaan berlangsung di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya yang diubah suai seperti mahkamah.
Antara yang akan memberi keterangan hari ini adalah bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.
Sehingga Khamis lepas, sebanyak 45 orang saksi sudah memberikan keterangan sepanjang 15 hari pendengaran awam RCI berkenaan berlangsung sejak 17 April lepas.
Bekas Ketua Hakim Negara, Arifin Zakaria mempengerusikan RCI yang dianggotai tujuh anggota dengan bekas Ketua Polis Negara, Norian Mai sebagai Timbalan Pengerusi.
RCI berkenaan diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas.
Ia diadakan susulan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand pada 2015. – Bernama