[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=vA_9oBBQqrc[/embedyt]
SRI KEMBANGAN, 27 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menunggu perkembangan siasatan polis terhadap kes 4 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam insiden tembakan di Kem TUDM di Kota Samarahan, Sarawak.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, kes tersebut masih dalam siasatan polis dan pihaknya tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.
“Perkara ini masih lagi dalam siasatan pihak polis,
“Jadi kita tidak boleh ulas lagi buat masa ini sehingga kertas siasatan polis dilengkapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan Sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM di Seri Kembangan, hari ini.
Terdahulu, Affendi telah menerima 10 ribu kotak bekalan makanan daripada The Mines and Country Heights Holdings menerusi pertubuhan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia untuk diagihkan kepada veteran atau balu vetaran ATM yang terkesan akibat wabak COVID-19.
Penyerahan 10 ribu kotak makanan tersebut telah diserahkan oleh Pengasas Country Heights Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew kepada Affendi.
Affendi berkata, sumbangan yang merupakan kotak bekalan makanan ini akan diserahkan kepada keluarga dan balu veteran tentera melalui 9 cawangan negeri Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) dalam masa yang terdekat.
Menurutnya, program ini adalah salah satu aktiviti yang dirangka bagi menyokong program MINDEF Prihatin yang dilancarkan pada 19 Julai lalu.
“Inisiatif ini dilaksanakan mulai bulan Ogos di mana ia merupakan satu manifestasi keprihatinan kerajaan khasnya dan masyarakat Malaysia amnya terhadap kebajikan keluarga veteran ATM yang rata-rata berada dalam golongan B40,
“Bantuan yang berupa kotak makanan ini akan diagihkan terus kepada penerima yang layak melalui 9 cawangan negeri JHEV ATM dalam masa yang terdekat sehingga hujung tahun ini,
“Pada hari ini saya berbesar hati menerima sumbangan sebanyak 10 ribu kotak makanan daripada Tan Sri Lee Kim Yew, Pengasas Country Heights Holding Berhad,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Affendi menjelaskan Kementerian Pertahanan turut mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan badan korporat yang lain, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, individu serta lain-lain yang ingin turut serta dalam program ini.
“Semoga objektif dalam inisiatif ini dapat memberi manfaat yang sewajarkan kepada keluarga veteran dan balu yang memerlukan bantuan,
“Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dan meletakkan keutamaan terhadap kebajikan serta kesejahteraan Veteran ATM,” jelasnya. -aitimes.my