KUALA LUMPUR, 20 Mac – FELCRA Berhad memaklumkan bahawa operasi aktiviti perladangan dan kilang akan diteruskan dengan memenuhi sepenuhnya garis panduan dan tatacara keselamatan serta pencegahan bagi mendepani wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor dalam kenyataan berkata FELCRA Berhad mewakili kira-kira 110,000 peserta daripada golongan berpendapatan rendah (B40) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet kerana memberi kelonggaran agar operasi ladang dan kilang kelapa sawit diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu ini.
“Para peserta amat bergantung harap kepada hasil pendapatan yang dijana oleh ladang-ladang mereka yang diuruskan oleh FELCRA Berhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Kementerian itu telah melalui panduan umum Kabinet yang bermesyuarat pada pagi ini serta pengesahan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kelonggaran kepada sektor perladangan dan komoditi.
“Keputusan ini diberi dengan syarat agar langkah pemantauan dan pencegahan diambil oleh pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam masa yang sama, Nazrul berkata kementerian itu telah menutup semua premis pejabat FELCRA Berhad, termasuk Ibu Pejabat, pejabat Wilayah, pejabat Kawasan dan Kilang di seluruh negara bermula 18 Mac 2020 berikutan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan Perdana Menteri.