KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Amanjaya, Kedah berkuatkuasa esok (28 Ogos 2020) susulan kes penularan wabak COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memutuskan perkara tersebut sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“PKPD yang berkuatkuasa jam 12.01 malam ini, melibatkan 3 zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur iaitu seramai 22,360 individu,
“Kesemua individu akan disaring oleh petugas KKM, SOP sama dengan PKPD yang lain iaitu penduduk di zon terlibat tidak dibenarkan untuk keluar zon manakala orang luar tidak dibenarkan untuk memasuki zon terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan mengenai PKP hari ke-163 dan hari ke-79 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk zon yang terlibat.
“Individu yang bekerja di luar daripada kawasan PKPD mereka tidak dibenar keluar untuk berkerja, manakala individu dari luar yang bekerja di kawasan PKPD juga tidak dibenarkan datang bekerja,
“Majikan mereka diminta untuk mengambil maklum akan perintah ini dan membenarkan mereka yang terlibat untuk bekerja dari rumah (work from home),” ujarnya.
Sementara itu, tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta sekolah dan taska diarahkan tutup sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran.
“Hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja (essential services) dibenarkan beroperasi seperti premis yang menyediakan perkhidmatan makanan seperti kedai makan, kedai runcit dan warung serta stesen minyak, kedai runcit dan farmasi, klinik serta hospital sahaja,
“Premis perniagaan lain dan kilang adalah dilarang untuk beroperasi, manakala restoran, kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah take away sahaja dan hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.
Tambahnya lagi, klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam, manakala waktu operasi bagi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan dibenarkan sehingga 8 malam sahaja.
“Stesen minyak dan kedai runcit boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja,
“Operasi pasar malam dan pasar tani juga adalah tidak dibenarkan, manakala hanya operasi pasar harian dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja,” tegasnya.
Dalam pada itu, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah sahaja dibenarkan untuk keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga.
“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu,” jelasnya. – airtimes.my