KANGAR, 22 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 menahan 2 beradik warga tempatan bersama sebuah bot yang membawa ketulan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu di kawasan perairan Kuala Perlis, petang semalam.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kasim berkata, anggotanya sedang melaksanakan Operasi Gelora di sepanjang laut Kedah dan Perlis telah mengesan sebuah bot di kedudukan 1.05 BN dari Pulau Brasmana untuk diperiksa.
“2 lelaki dipercayai adik beradik warga tempatan berumur 33 dan 50 tahun yang menaiki bot tersebut berjaya ditahan,
“Hasil pemeriksaan salah seorang daripada mereka mendapati terdapat ketulan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu bersama sejenis alat disyaki digunakan untuk tujuan menghisap dadah,
“Pemeriksaan lanjut telah menemukan sejumlah wang kertas yang siap dibungkus dan diikat di dalam satu bungkusan plastik berwarna hitam,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal dilakukan mendapati suspek baru pertama kali datang ke Kuala Perlis menerusi laluan laut bagi tujuan mengambil dadah jenis ganja daripada seorang lelaki warganergara Thailand.
“Wang tunai yang dirampas digunakan untuk membeli 100 kilogram ganja,
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot fiber, sebuah enjin bot 75HP dan 4 tong jerry can berisi minyak petrol dengan anggaran keseluruhan sebanyak RM166,000,00,” ujarnya. – airtimes.my