KUALA LUMPUR, 22 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Sarawak dan Sabah dilaksana esok sehingga 8 Mac 2021 susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Emperoh Jambu di Padawan, Sarawak dan Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah.
Sehingga kini, sebanyak 60 kes positif COVID-19 telah dilaporkan di Kampung Emperoh.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,
“Sementara itu, di Kampung Tanah Merah sebanyak 57 didapati positif COVID-19 hasil 226 ujian saringan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan PKPD di Kampung Emperoh Jambu adalah bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 1,215 orang penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Manakala di Kampung Tanah Merah pula saringan secara bersasar ke atas hampir 545 orang penduduk yang tinggal di lokaliti tersebut. – airtimes.my