KUALA LUMPUR, 19 Jul – Mesyuarat Khas Dewan Negara yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Ogos ini akan memberi tumpuan kepada urusan penerangan serta pembentangan Proklamasi Darurat dan tidak timbul isu-isu usul di luar dugaan.
Yang di-pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, sebarang persoalan, penjelasan atau hak penerangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negara akan dipertimbangan mengikut kerelevanannya.
Sehubungan itu, katanya, tidak timbul ‘isu di luar dugaan’ dalam sidang Dewan Negara kali ini kerana ia bersifat persidangan khas yang mustahak dan dilaksanakan bagi faedah orang ramai.
“Oleh kerana sesi ini bersifat persidangan khas, tumpuan ialah kepada penerangan, dan tidak timbul isu usul yang di luar dugaan.
“Ingin dinyatakan juga bahawa sesi Mesyuarat Khas Dewan Negara yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos 2021 adalah di luar kuat kuasa tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, terdapat 3 urusan yang telah ditetapkan Perdana Menteri sepanjang sidang khas Dewan Negara itu, antaranya membentangkan proklamasi darurat bertarikh 11 Januari lalu, dan beberapa Ordinan Darurat yang dibuat mengikut Perkara 150(3), kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Urusan kedua pula, membentangkan proklamasi darurat bertarikh 12 Disember tahun lalu mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik, Perak dan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, serta Ordinan Darurat yang dibuat di bawah proklamasi itu,
“Seterusnya adalah penerangan daripada menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 13(1)(i) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara berhubung PPN, program vaksinasi, pelaksanaan darurat dan pakej bantuan ekonomi,
“Sepanjang mesyuarat khas ini, Peraturan Mesyuarat biasa akan dikuatkuasakan dalam menjalankan prosesur persidangan. Sebarang persoalan, penjelasan atau hak penerangan dikemukakan Ahli Dewan Negara akan diberi pertimbangan mengikut kerelevanannya,” tambahnya.
Menurutnya, pemakluman Muhyiddin itu adalah selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.
Selain itu, beliau menjelaskan persidangan khas itu adalah di luar kuat kuasa tempoh darurat dan Peraturan Mesyuarat biasa akan dikuatkuasakan dalam menjalankan prosedur persidangan sepanjang persidangan tersebut.
Rais berkata, bagi memastikan mesyuarat khas itu berlangsung dalam keadaan selamat, segala prosedur operasi standard (SOP) ketat anti COVID-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dikuatkuasakan sepanjang masa.
“Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Negara Muhd Sujairi Abdullah akan menyusul dengan mengeluarkan pemberitahu berkenaan mesyuarat khas itu kepada semua Ahli Dewan Negara,” jelasnya. -airtimes.my