KUALA LUMPUR, 16 Feb – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia tahun 2019 di Kem Perdana Sungai Besi, pada hari ini.
Baginda turut berkenan untuk menyampaikan watikah pentauliahan kepada 504 Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) bersama-sama Pegawai Kadet Graduan daripada Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris I dan Akademi Tentera Udara (ATU).
Perbarisan istiadat ini juga disertai dua Pegawai Kadet dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan enam Pegawai Kadet daripada Askar Timbalan Setia Negeri Johor telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.
Majlis pengurnian watikah tauliah pegawai kadet ATM ke Leftenan Muda terdiri daripada 137 Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 47 dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 70 Kadet dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Manakala untuk Pegawai Graduan pula adalah terdiri daripada 157 dari TDM, 54 TLDM dan 39 daripada Kadet TUDM.
Pegawai Rendah Muda Mohd Zulzafri Zolkarnain dianugerahkan Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan Akademik Latihan Ketenteraan. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan menerima Piala Seri Perkasa serta sebilah pedang kehormat.
Turut hadir ke istiadat ini ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Hilmi Abdul Manaf; Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Dato’ Hj Abdul Halim Jalal.