KANGAR, 17 Okt – Polis memberkas seorang pesara tentera lelaki kerana memiliki senapang patah tiruan buatan sendiri yang dibeli dari seorang buruh kasar yang tinggal di Kodiang, Kedah.
Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohd berkata suspek yang berumur 41 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Guar Sanji, Arau kira-kira 11 malam, Isnin lepas dalam operasi Op Cantas yang merupakan kes pertama di negeri ini.
“Hasil pemeriksaan, polis menemukan komponen senapang yang dileraikan dibalut dalam kain batik berwarna merah yang disembunyikan di belakang kepala katil bilik tidur suspek dipercayai senjata tiruan,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, hari ini.
Katanya polis merampas sebatang besi berwarna coklat berukuran 46cm, sebatang besi laras berwarna hitam dan sebuah pemegang warna coklat gelap.
Beliau berkata suspek juga mengakui membeli senapang tersebut dengan harga RM800 dan telah memiliki senapang tersebut sejak 2014.
Noor Mushar berkata polis turut melakukan serbuan dan menangkap buruh lelaki yang membuat dan menjual senjata api berkenaan di rumahnya di Kampung Kandis, Kodiang, Kedah pada hari sama suspek pertama ditahan.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek pertama telah memiliki senjata api tersebut sejak 2014 untuk memburu haiwan manakala suspek kedua telah menjalankan kegiatannya (membuat senjata api) lebih awal daripada itu (2014).
“Setakat ini kita percaya senjata api ini tidak ‘terlepas’ kepada mana-mana individu untuk kegiatan pengganas. Polis juga sedang mengenal pasti individu yang telah membeli senjata api daripada suspek kedua,” katanya.
Menurut Noor Mushar, dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas empat batang udi, dua batang besi laras senjata dan selaras senapang angin yang belum siap.
Katanya lagi, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.