TELUK SEPANGGAR, 1 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima penyerahan 3 buah Helikopter AW139 bagi meningkatkan keupayaan operasi maritim terutama dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, 2 daripadanya telah diterima dan diserahkan pada hari ini, manakala sebuah lagi dijangka akan sampai pada bulan September ini.
Menurutnya, perolehan helikopter AW139 ini membolehkan rondaan penguatkuasaan maritim dapat dilaksanakan sekerap mungkin bersama aset-aset sedia ada. Ini sekaligus berupaya mengukuhkan lagi pengawasan ruang udara di perairan maritim Sabah dan Sarawak serta meningkatkan kekuatan inventori TLDM di Armada Timur.
Hishammuddin turut menjelaskan, keberadaan aset-aset baharu seperti helikopter AW139 ini juga merupakan salah satu usaha yang berupaya mengekalkan moral dan semangat para anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM untuk melaksanakan penugasan.
“Perolehan aset ini akan berterusan mengikut perancangan Kementerian Pertahanan dan kemampuan kewangan negara,
“Aset sahaja tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan negara dan negeri Sabah, tetapi berbekalkan kepada semangat ini ianya memberikan inisiatif kepada saya agar sentiasa memikirkan keperluan dalam perolehan aset-aset ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503 serta Penyerahan Helikopter Operasi Maritim kepada pihak TLDM di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Tambahnya, dengan pembelian dan penyerahan helikopter AW139 ini, sebuah skuadron baharu iaitu Skuadron 503 telah ditubuhkan bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian Helikopter Operasi Maritim (HOM).
“Skuadron 503 ini berperanan dalam Pemantauan Zon Maritim Malaysia serta Maritime Domain Awareness (MDA), Over the Horizon Targeting (OTHT), Operasi Pasukan Khas dan Latihan krew udara serta warga kapal,
“Skuadron ini juga akan diletakkan di bawah pemerintah perintah operasi Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) akan meningkatkan lagi kecekapan unit pentadbiran, pengurusan logistik dan penguasa operasi penerbangan khususnya di Armada Timur,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Helikopter utiliti buatan Itali itu dilengkapi dengan RDR 1700A radar pencarian dan 12.7 milimiter mesingan.-airtimes.my