TRIPOLI, 28 Jan – Perintah darurat yang disiytiharkan di Lubnan pada Isnin lalu telah menyebabkan rusuhan tercetus oleh penunjuk perasaan yang tidak berpuashati atas tindakan tersebut.
Polis anti rusuhan dilaporkan telah melepaskan peluru hidup apabila penunjuk perasaan cuba menyerbu bangunan pentadbiran kerajaan di kota itu.
Rusuhan yang berlangsung sejak tiga hari lalu adalah sebagai bantahan terhadap larangan keras yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19 dalam keadaan keruntuhan ekonomi di Lubnan.
“Orang ramai letih. Ada kemiskinan, kesengsaraan dan tiada pekerjaan. Masalah kami adalah ahli politik,” kata Samir Agha salah seorang penunjuk perasaan yang dilaporkan Reuters.
“Kemerosotan ekonomi adalah risiko terbesar terhadap kestabilan Lubnan sejak perang saudara tercetus pada tahun 1975-1990,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri sementara Lubnan, Hassan Diab menegaskan bahawa sekatan ini amat diperlukan bagi membendung penularan virus tersebut.
Hassan turut mengakui bahawa pihaknya tidak mampu untuk menampung keperluan seluruh rakyatnya, namun akan membantu mengurangi beban yang dihadapi.
Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Lubnan dalam satu kenyataan disiarkan menerusi twitter melaporkan penunjuk perasaan telah membaling molotov koktel yang mencederakan sembilan pegawainya.
Pihaknya turut berjanji akan menangani rusuhan itu dengan kepakaran dan ketegasan.
Agensi berita tempatan Lubnan, turut melaporkan seramai 226 penunjuk perasaan dan polis cedera.
Terdahulu, Lubnan mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 286 ribu dengan 170 ribu kes sembuh dan 2,477 kematian.
Peningkatan ini mengakibatkan kesesakan di hospital selain kos perubatan yang tidak mampu dibiayai kerajaan. – airtimes.my