KUALA LUMPUR, 16 Dis – Seramai 37 individu berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highland, Pahang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 3 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang, BBP Genting Highlands, BBP Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas dikerahkan ke lokasi.
Beliau berkata, tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik itu telah menghempap tapak perkhemahan yang berdekatan dengan jalan.
“Maklumat dikemaskini setakat jam 7.00 pagi tadi, sejumlah 79 orang mangsa yang berada di tapak perkhemahan tersebut terlibat dengan kejadian runtuhan yang berlaku,
“23 orang dalam keadaan selamat, 2 orang meninggal dunia, 3 orang cedera dan 51 orang masih tidak ditemui,”jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak Bomba serta dibantu bersama oleh agensi lain iaitu Persatuan Bomba Sukarela, Bomba Swasta, PDRM, APM, KKM dan Pasukan SMART.-airtimes.my