KUCHING, 15 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus perkukuh kerjasama dengan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
Markas ATM dalam satu hantaran media sosialnya berkata, kawalan keselamatan tersebut adalah melalui pengaktifan 6 pos gabungan Malaysia – Indonesia (GABMA) melalui Operasi Keris Parang Gabungan 2022.
Menurutnya, sebanyak 3 kem TDM akan terlibat dalam GABMA iaitu Kem JPG Biawak Lundu, kem JPG Tebedu dan Kem Lubok Antu.
“3 Pos TNI-AD yang terlibat adalah di Pos Nanga Badau, Pos Entikong dan Pos Sajingan dimana TNI-AD akan menghantar 10 orang anggota ke Pos TDM manakala TDM menghantar 8 orang anggota ke Pos TNI-AD,
“TDM dan TNI-AD akan bersama-sama melaksanakan Operasi Pengawal Keselamatan Pos selama 24 jam, Rondaan Kenderaan dan Jalan Kaki serta mengadakan SERKAP/SERDAP,” katanya, hari ini.
Jelasnya, kerjasama berikut bertujuan bagi membanteras pencerobohan PATI mahupun jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia – Indonesia.
Tambahnya lagi, GABMA tersebut telah melibatkan tentera Malaysia dari Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD) dan Batalion Infrantri 645 (Bn Inf 645) Ghardatama.
Dalam pada itu, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd), Brigadier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff telah menyempurnakan pengaktifan kesemua 6 pos di Kem JPG Tebedu, hari ini. – airtimes.my