MANILA, 21 SEPT – Jabatan Pertahanan Filipina (DND) menyatakan kesediaan Perancis untuk membantu Manila dalam merealisasikan modenisasi tentera negara kepulauan republik itu.
Arsenio Andolong, jurucakap DND dalam satu kenyataan berkata, sokongan yang diberikan oleh Perancis meliputi pembangunan angkatan kapal selam Filipina.
“Wakil kerajaan Perancis menyuarakan sokongan dan menyatakan pendirian Paris sebagai rakan dalam rantau Indo-Pasifik,
“Beliau turut menyatakan kesediaan Perancis untuk membantu pelaksanaan pelan modenisasi tentera Filipina,
“Ini termasuk kesediaan Naval Group dalam membangunkan angkatan kapal selam Tentera Laut Filipina (Philippine Navy, PN),” kata Arsenio seperti yang dilaporkan oleh PNA.
Laporan itu menyebut, Naval Group telah berjanji untuk membantu PN dalam membina fasiliti kapal selam canggih di Subic Bay.
Perancis sebelum ini menyatakan minat mereka untuk menyertai pelan modenisasi Angkatan Tentera Filipina terutamanya dalam melakukan perolehan aset persenjataan.
Pihak PN sebelum ini telah mengumumkan pemilihan Subic Bay sebagai pangkalan kapal selam mereka. – airtimes.my