BRUNEI, 16 Jul – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Seri Affendi Buang TUDM telah dianugerahkan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T.) yang membawa gelaran Datuk Paduka Seri.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi hantaran di media sosial rasminya berkata, Sultan Brunei, Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin telah berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada Affendi di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, semalam.
Sebelum itu, Affendi telah menghadiri ke Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam.
Affendi turut menyaksikan Istiadat Perbarisan Kehormatan yang diadakan bersempena sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-76 Bagi Tahun 2022 bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Turut bersama Panglima Angkatan Tentera semasa istiadat tersebut adalah isteri merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Tengku Muhaini Almarhum Sultan Ahmad Shah. -airtimes.my