KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dalam 2 serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, 3 suspek berusia antara 32 hingga 56 tahun itu ditahan selepas risikan selama 3 bulan.
Beliau berkata, sindiket ini menjalankan operasi pemasuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing yang menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium mencari pelanggan, menetapkan pertemuan serta transaksi lain.
“2 orang suspek ditahan semasa sedang melaksanakan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak,
“Susulan daripada penangkapan ini, kedua-dua suspek telah membawa pasukan operasi ke sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan, Selangor pada 17 Ogos 2021,
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki Maker (Pembuat Dokumen Palsu) kepada sindiket terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Khairul Dzaimee berkata, mereka yang ditahan adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang disyaki palsu.
“Seorang daripada mereka juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan Imigresen,” tambahnya.
Menurut Khairul Dzaimee, sindiket itu berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa serta lesen memandu dan dokumen tersebut akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.
“Sindiket ini memberi fokus kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah pengembara yang kerap melakukan perjalanan ke negara-negara maju di atas,” katanya.
Tambahnya, sindiket itu turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak 2 tahun lepas dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan, Myanmar atau Bangladesh yang bekerja sebagai buruh binaan serta pekerja kedai.
“Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi,” jelasnya.
Khairul Dzaimee berkata, kadar bayaran yang dikenakan sindiket kepada pelanggan ialah antara RM100 dan RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran bagi dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport ialah antara RM100 hingga RM1,000.
Turut ditemui 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, 2 set komputer meja, 2 unit mesin pencetak, 1 unit mesin liminit, satu unit pembaca pasport, 5 keping plat plat mengecap pelbagai negara, 20 unit pemidang saring sutera pelbagai negara dan satu unit meja pencetak saring sutera.
“Pihak kedutaan negara terbabit mengesahkan bahawa dokumen yang dirampas adalah palsu,
“Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta,” ujarnya. -airtimes.my