KUALA LUMPUR, 8 Mac – Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Audit Negara yang baharu bagi tempoh dua tahun bermula 23 Februari lalu hingga 22 Februari 2021.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Hj Bakar berkata pelantikan Nik Azman bagi menggantikan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad yang telah tamat perkhidmatannya pada 22 Februari lalu.
“Berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail, Nik Azman merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya dan Sarjana Ekonomi dari Universiti of Nebraska, Amerika Syarikat serta mempunyai pengalaman luas dalam ekonomi dan kewangan.
“Nik Azman pernah berkidmat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi, Bank Dunia Washington DC, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri”, katanya.
Pada masa sama, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Madinah di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Audit Negara.
“Khususnya dalam usaha-usaha mentransformasi dan menstrukturkan semula sistem pengauditan serta mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan,” kata Ismail.