KUALA LUMPUR, 27 Mac – Polis mengehadkan kemasukan orang ramai ke Pasar Jalan Raja Bot (Pasar Chow Kit) bagi memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata pengunjung Pasar Chow Kit akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang terdiri antara 30 hingga 40 orang bagi setiap kumpulan. Seterusnya mereka hanya diberikan masa selama 20 minit sahaja untuk membeli barangan keperluan.
“Bermula dari jam 6 pagi tadi di Pasar Chow Kit, kami telah memulakan operasi memperketatkan PKP ini dengan mengehadkan kemasukan pembeli yang datang untuk berurusan,
“Tindakan ini terpaksa diambil selepas pihak kami membuat tinjauan berapa hari lepas, mendapati orang awam yang masuk masih mengingkari dan mengambil mudah perintah PKP terutamanya dari segi penjagaan jarak serta pemakaian topeng muka ketika di tempat terbuka seperti ini,
“Selain itu pihak polis turut menyediakan laluan khas untuk warga emas yang ingin ke pasar bagi mendapatkan barang keperluan mereka,” katanya selepas meninjau pelaksanaan PKP di Pasar Chow Kit, hari ini.
Mohd Fahmi berkata, dianggarkan lebih 700 orang datang membeli di pasar berkenaan sejak 6 hingga 10 pagi tadi.
“Kami menjangkakan lebih ramai lagi yang akan datang untuk membeli barang keperluan harian di pasar ini sehingga jam 1 tengah hari,” katanya.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan tegas termasuk menangkap individu yang ingkar kepada arahan akan dilakukan bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 di kawasan itu.
“Saya menyeru kepada orang awam yang tidak mempunyai keperluan untuk tingal di rumah untuk mengurangkan pergerakan dan seterusnya memutuskan rangkaian COVID-19 yang semakin menular di negara ini,” tambah Mohd Fahmi