SEMPORNA, 20 Mac – Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan tinjauan keselamatan di sekitar perairan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) melibatkan Pulau Ligitan dan Sipadan.
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, lawatan tersebut diketuai oleh Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Toisin Gantor untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap keselamatan di perairan ESS Zone.
“Turut memantau proses penyerahan semula kuasa pentadbiran kedua-dua pulau daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah,” kata hantaran itu pada Sabtu.
Jelas hantaran itu, lawatan tersebut telah diiringi oleh Ketua Staf Pusat Operasi ESSCOM, Brigedier Jeneral Azhar Tahir yang mewakili Komander ESSCOM. – airtimes.my