LAHAD DATU, 22 Feb – Pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan menggerakkan usaha dalam mempertingkatkan tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dengan memperkasa pemantauan dan kawalan udara secara bersepadu.
Ketua Staf Bahagian Udara ESSCOM, Brig Jen Ayub Khan Mohamad Khan berkata langkah ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pesawat-pasawat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpangkalan di pantai Timur Sabah.
“Aset udara yang terlibat seperti Helikopter Fennec TLDM (KD Sri Semporna), Helikopter Nuri TUDM (Tawau) dan Helikopter Agusta No 881 Skuadron PUTD, Sandakan, manakala dua lagi pesawat iaitu pesawat Hawk dan pesawat B200T masing-masing didatangkan dari 6 Skuadron dan 16 Skuadron yang beroperasi dari Pangkalan Udara Labuan,” kata Brig Jen Ayub seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat operasi pemantau udara bersama dengan Detachment Pesawat ATM, di Pejabat ESSCOM pada Khamis.
Ayub Khan berkata dengan perlaksanaan kawalan berkenaan, pencerobohan dan kemasukan anasir-anasir luar akan lebih pantas dikesan.
“Langkah drastik ESSCOM ini juga bertujuan untuk membanteras kesemua jenis elemen jenayah rentas sempadan Malaysia-Filipina yang sering kali menjadikan kawasan ESSZONE sebagai ‘staging point’ untuk melakukan jenayah seperti penyeludupan manusia dan barang kawalan serta penculikan untuk wang tebusan,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan operasi udara adalah sebagai pelengkap kepada operasi-operasi lain dilaksanakan oleh ESSCOM termasuk Operasi Bersepadu, Operasi Gasak dan Operasi Gasak Laut.
“Pelaksanaan semua operasi ini juga sebagai satu pendekatan strategik untuk meningkatkan kehadiran dan keberadaan atau ‘show of precent’ pasukan keselamatan khususnya aset udara yang diletakkan di lokasi-lokasi tertentu bagi menunjukkan kesiapsiagaan pasukan udara dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” jelas Ayub Khan.