KOTA BHARU, 30 Dis – Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama bagi perairan Pantai Timur bermula hari ini sehingga Khamis, 3 Januari 2019.
Memetik laporan Bernama, Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Zakaria berkata, angin kencang Timur Laut yang berkelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak sehingga 3.5 meter itu merbahaya kepada bot-bot kecil, reakreasi laut dan sukan laut.
“Disebabkan keadaan tersebut, orang awam dan nelayan dinasihatkan agar peka dengan amaran yang dikeluarkan dan sebolehnya mengelakkan sebarang aktiviti pantai,” tegas Rabiah.
Nelayan khususnya yang menggunakan bot kecil diharap lebih berhati-hati keluar menangkap ikan ketika amaran masih berkuat kuasa, katanya.
Pada pukul 11.30 malam semalam (29 Dis), Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 3 Jan ini.
Amaran kategori pertama itu turut melibatkan perairan Tenggara Samui, Selatan Condore, Selatan Palawan, Pulau Layang-Layang, Tioman, Selatan Reef North, Reef South, Labuan dan Bungguran.
Sementara itu, Amaran Cuaca Waspada yang dikeluarkan pada pukul 5.30 petang, 28 Dis lepas meramalkan hujan lebat akan berlaku di Kelantan dan Terengganu mulai hari ini dan esok.
Antara kawasan yang dijangka berlaku hujan lebat di Kelantan ialah daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tumpat, Bachok dan Jeli.