KUCHING, 6 Okt – Hasrat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba mencari hasil hutan di Sarawak punah apabila kegiatannya dikesan oleh anggota Tentera Darat Malaysia.
Pihak Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) berkata, kejadian berlaku di kawasan berhampiran Kampung Padang Pan, Serikin, semalam.
“Pada 4.30 petang, Kumpulan Tinjau dari Kompeni B Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) telah ternampak seorang PATI telah memasuki kawasan Malaysia dari arah negara jiran,
“PATI kemudiannya ditahan dan diperiksa,” katanya.
PATI tersebut didapati memasuki negara dengan berjalan kaki melalui lorong tikus.
“Hasil pemeriksaan, PATI tersebut hendak mencari hasil hutan dan telah diusir keluar dari Malaysia,” jelasnya.
Menurut 3 Briged, kawalan diteruskan di Kampung Padang Pan dan tiada sebarang rampasan barang diperoleh semasa pengusiran dibuat. – airtimes.my