KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pengumuman kerajaan mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan bagi Veteran Tidak Berpencen pada umur 60 tahun merupakan berita yang ditunggu-tunggu seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak sekian lama.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar berkata, inisiatif itu dapat menambah pendapatan bulanan veteran untuk meneruskan kehidupan mereka yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif yang akan memanfaatkan lebih 41,000 veteran tidak berpencen ini,” katanya seperti dilapor Bernama, malam tadi.
Beliau berkata, pengumuman itu juga selari dengan perjuangan PVATM yang menitikberatkan kebajikan veteran di seluruh negara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Datuk Ismail Abidin turut meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan dengan penggumuman itu kerana ia dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pesara.
“Terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa prihatin terhadap veteran-veteran ATM yang telah menggadai nyawa mempertahankan negera tercinta,
“Dengan memberi BSH sebanyak RM300.00 setiap bulan kepada mereka yang berumur 60 tahun keatas, sekurang kurangnya dapat membantu menambah pendapatan ketika negara sedang menghadapi kenaikan harga barang-barang keperluan harian,” jelasnya melalui pesanan ringkas kepada Air Times.
Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar veteran ATM terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara sewajarnya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan, BSH sebanyak RM300 sebulan akan diperluaskan kepada veteran tidak berpencen pada umur 60 tahun berbanding sebelum ini yang hanya dinikmati pada umur 80 tahun.
Jelasnya, langkah itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
“Pemanjangan BSH ini akan berkuat kuasa pada bulan September ini dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 veteran tidak berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun,” jelasnya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Sebelum ini, BSH RM300 sebulan hanya dinikmati veteran tidak berpencen pada usia 80 tahun.
Mohd Zuki menyifatkan pemanjangan BSH kepada veteran pada usia 60 tahun ini adalah kesinambungan keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam. -airtimes.my