WAKAF BHARU, 10 DIS – Hampir 16 jam berjaga demi menyelamatkan mangsa terperangkap dalam banjir, itulah yang ditempuhi oleh Abdullah Draman bersama beberapa rakan-rakannya ketika kampung mereka ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak minggu lalu.
Ketika kejadian itu, Abdullah Draman berkata, beliau bersama rakannya perlu berulang-alik sebanyak 20 hingga 30 kali demi menyelamatkan hampir 100 penduduk di Kampung Banggol Petani, Wakaf Bharu.
“Kami selamatkan penduduk kampung menggunakan 4 buah bot dan tidak tidur selama hampir 16 jam ketika situasi itu berlaku.
“Masa kejadian itu, kami dah tak fikir apa-apa, hanya fikir nak selamatkan orang walaupun ketika itu air naik dengan cepat dan terlalu deras,” katanya kepada Airtimes pada Rabu.

Abdullah Draman kembali ke rumahnya dengan menaiki bot (Foto:Zulhaizi)
Tambah Abdullah, ketika itu, beliau tidak boleh tidur kerana risau sekiranya ada penduduk kampung yang terperangkap di rumah mereka.
“Malam itu, saya bersama rakan lain turut membawa keluar 5 orang penduduk kampung yang lumpuh akibat strok dan wanita mengandung ke tempat selamat.
“Walaupun malam itu saya sudah kurang berdaya sehinggakan badan saya menggigil kerana kesejukan, tetapi nyawa orang kampung lebih penting bagi saya,” katanya.
Dalam masa sama, Abdullah meluahkan rasa syukur dan lega kerana kesemua penduduk kampung selamat dipindahkan ketika kejadian itu sekaligus bertekad akan terus membantu penduduk setempat sekiranya perkara sama berulang lagi.
“Kalau kejadian ini masih lagi berulang di masa akan datang, saya sanggup menggunakan tenaga yang saya ada untuk menyelamatkan penduduk kampung,” ujarnya. -airtimes.my
#banjir #kelantan #mangsabanjir #Malaysia #Airtimes