KUALA LUMPUR, 29 Apr 18 – Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memupuk kesedaran kepada Warga TUDM tentang bahaya gejala penyalahgunaan dadah di Karnival Bangkit Bersama Hidup Penuh Erti.
Perasmian Karnival Bangkit Bersama Hidup Penuh Erti telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang dan isteri, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang Puan Sri Hjh Tengku Muhaini binti Sultan Ahmad Shah selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara, di pangkalan udara Subang, semalam.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang memaklumkan “TUDM amat serius dan tiada kompromi jika ada anggota yang positif dengan penglibatan ini sama ada pengguna atau pengedar, kita akan memberhentikan mereka, ujarnya.
“Kita akan membuat karnival ini di pangkalan-pangkalan lain di seluruh Malaysia, Insyaallah target kita adalah untuk semua anggota TUDM dan keluarga bagi menyampaikan mesej yang kita hendak sampaikan seperti hari ini, katanya.
Dalam pada itu, isteri Panglima Tentera Udara selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara, YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang Puan Sri Hjh Tengku Muhaini binti Sultan Ahmad Shah turut memberikan pandangan tentang bahaya dadah.
“Kami mahu mendedahkan maklumat tentang bahaya dadah kepada isteri atau ahli-ahli BAKAT, supaya mereka tahu dengan lebih terperinci tentang bahaya dadah, katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah Forum Kesedaran Penyalahgunaan Dadah, pertandingan mewarna kanak-kanak, booth Pameran Dadah serta gerai-gerai jualan yang dikendalikan oleh ahli BAKAT Udara. Bagi menjayakan Forum tersebut para panel yang dijemput adalah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Pencegahan Dadah (PEMADAM) dan PENGASIH Malaysia.
Dalam pada itu, satu pertunjukkan anjing pengesan oleh Unit Pengesan (K9) daripada Pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) turut dipertontonkan.
Objektif program ini adalah bagi memberikan kesedaran kepada semua peringkat anggota tentang bahaya penyalahgunaan dadah, kesan kepada individu, keluarga dan TUDM serta melahirkan anggota bebas penyalahgunaan dadah dan dapat memberi pendidikan awal kepada warga TUDM dan BAKAT Udara tentang jenis-ienis dadah serta trend dadah terkini yang selalu disalahgunakan
Selain itu juga, karnival ini dapat memupuk serta mengamalkan budaya hidup yang sihat serta mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan rumahtangga dan justeru itu dapat menyalurkan maklumat kepada anggota tentang hukuman dan kesan akibat penyalahgunaan dadah berbahaya.