KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan terbuka Badan Kehakiman yang membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Tun Mahathir berkata beliau belum dapat memberikan maklumat terperinci berhubung penubuhan itu.
“Terpulanglah kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja itu kelak untuk menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh hakim berkenaan. Kita akan menubuhkan suruhajaya siasatan diraja, terma-termanya akan ditentukan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi dan sesi ramah mesra bersama warga Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.
“Kita belum bincang lagi tentang syarat-syarat dan kandungan berhubung RCI ini lagi tetapi kerajaan akan tubuhkan siasatan diraja ini dulu,” ujarnya.
Pelbagai pihak mendesak supaya suruhanjaya siasatan ditubuhkan berikutan pendedahan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Persekutuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.
Sebelum ini, Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan RCI berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam afidavit yang dibuat Hamid.