SEMPORNA, 20 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan barang kosmetik di perairan Pulau Danawan, Sabah pada Jumaat.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bot Viper 04 bersama Tim Quick Reaction Force (QRF) ketika membuat rondaan di Pulau Danawan telah mengesan 2 buah bot dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.51 petang.
“Bot berkenaan di dapati dari arah utara Pulau Danawan, di luar kawasan perairan Malaysia menuju ke Semporna,
“Viper 04 telah berjaya memintas bot laju tersebut manakala sebuah lagi berjaya meloloskan diri,” katanya dalam hantaran di media sosial Markas ATB 2.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati 2 orang awak-awak lelaki berbangsa Bajau berusia 22 dan 26 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sebanyak 33 buah kotak mengandungi barangan kosmetik yang dianggarkan bernilai sebanyak RM 67,453,
“Turut ditemui 19 tong minyak kosong berkapasiti 40 liter, yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi minyak petrol bagi tujuan penyeludupan yang seterusnya,” ujarnya.
Katanya, bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan barangan terkawal yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot tersebut telah ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan awak-awak bot dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi siasatan lanjut,
“Kesemua mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna.
Pada masa sama, Abdul Karim berkata, operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di Perairan Pantai Timur Sabah. – airtimes.my