KEMAMAN, 21 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman telah menahan sebuah bot nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran tempatan yang disyaki palsu bersama 29 kru termasuk tekong warga Vietnam di perairan Terengganu, Rabu lalu.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 36 batu nautika timur laut Kuala Kemaman, sekitar jam 7.31 petang.
Beliau berkata, bot tersebut disyaki bot klon walaupun menggunakan nombor pendaftaran PAF 4308, berdasarkan ciri dan struktur fizikal bot yang menyerupai bot nelayan Vietnam serta kesemua kru termasuk tekong berumur antara 22 hingga 54 tahun adalah warga Vietnam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 22 orang kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan bot disyaki menggunakan lesen tempatan yang meragukan,
“Bot serta kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan turut dirampas peralatan menangkap ikan, bekalan diesel beranggaran 1,500 liter, ikan campur dan ikan baja anggaran 6 tan,
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM1.6 juta,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM,hari ini.
Rashidilhadi menjelaskan, bot dan tahanan serta hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan seterusnya.
“Kesemua kru termasuk tekong menjalani saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah serta menceroboh perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya.
Menurut Rashidilhadi, pihaknya memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan serta kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara.-airtimes.my