KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada anggota tentera maut selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Kem Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Noor Azmi Yusoff berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, kanak-kanak tersebut terjatuh ketika cuba mengambil mainan di tingkap di tingkat dua.
“Dia yang berada di laluan di tingkat tiga telah memanjat dinding untuk mengambil mainan itu tetapi terjatuh ke tingkat bawah.
“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataannya semalam.
Mayat mangsa telah dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk tujuan dibedah siasat.
“Pemeriksaan terhadap tubuhnya mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kecederaan adalah kerana jatuh dari kedudukan yang tinggi.
“Kes tersebut dikelaskan sebagai mati mengejut.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nakhoda Batu Caves.