ALOR GAJAH, 30 Jun – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menyerahkan plaka kunci rumah baharu kepada veteran tentera, Baharom Hussin di Kampung Sungai Petai, pada Selasa.
JHEV ATM dalam hantaran di media sosialnya berkata, pembinaan rumah ini adalah menerusi Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM.
Pembinaan rumah tersebut adalah kolaborasi antara JHEV ATM dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Pengarah JHEV ATM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Mohd Shazwan Afifi Abd Rani telah menyempurnakan penyerahan cek bayaran kepada Pengurus SPNM Melaka, Khairul Azhar Abdullah pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM (Bina Baru).
Pada majlis tersebut, turut diserahkan replika dan plaka kunci rumah kepada Baharom.
Turut hadir, Ketua Cawangan dan wakil daripada Persatuan Veteran ATM Cawangan Alor Gajah, Negeri Melaka dan wakil SPNB Cawangan Negeri Melaka.
Pada masa sama, Mohd Shazwan Afifi turut membuat lawatan kebajikan kepada veteran tentera iaitu Zamri Kasmin di Batu 12 ½ Kampung Sungai Petai.
Beliau merupakan calon lnisiatif Perumahan Veteran ATM (Baik Pulih) yang cacat penglihatan semasa dalam perkhidmatan dan penerima pencen ILAT serta juga bantuan Sara Hidup daripada JHEV ATM.