LABUAN, 19 Nov – Juruterbang pesawat angkut C130 Hercules bersama lapan anak kapal lain yang terpaksa melakukan pendaratan cemas lewat petang semalam di Lapangan Terbang Labuan telah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian pesawat, dalam memastikan ianya selamat mendarat dan dalam keadaan terkawal, meskipun pendaratan dilakukan tanpa tayar.
Juruterbang dan anak kapal telah melakukan pendaratan secara profesional dan kerosakan yang dialami pesawat didapati minimum
“Cara-cara dan teknik yang digunakan oleh juruterbang bersama anak-anak kapal dalam proses pendaratan adalah licin, yang mana pesawat dikawal dengan cara sepatutnya.
“Di sini saya ingin mengucapkan tahniah kepada juruterbang dan anak kapal kerana telah melakukan pendaratan kecemasan dengan berjaya tanpa ada kecederaan dan kerosakan yang teruk pada pesawat,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kem Membedai TUDM Labuan hari ini.
Katanya pengendalian dan pengawalan pesawat yang selamat mendarat itu adalah berikutan siri latihan simulator berterusan yang telah membantu mereka mengawal keadaan seperti yang berlaku petang semalam.
“Sikap kerja juruterbang dan anak-anak kapal yang profesional membolehkan kita melihat tidak ada nyawa terkorban dan harta kerajaan dapat diselamatkan,” katanya.
Affendi berkata satu siasatan sedang dibuat bagi mengenal pasti masalah teknikal yang menyebabkan kekaki pesawat ‘main landing gear’ (di sebelah kanan) tersekat dan tidak berfungsi menyebabkan pendaratan tanpa tayar dilakukan.
“Pada masa ini, siasatan masih dilakukan untuk mengenal pasti kenapa ‘main landing gear’ tidak dapat diturunkan, bagaimanapun kes seperti ini bukanlah kes terpencil, masalah sedemikian juga berlaku kepada pesawat lain di negara lain, namun sekiranya pengendalian tidak dilakukan dengan betul, sudah tentu akan ada kerosakan yang serius dan nyawa terkorban,” katanya.
Katanya kem TUDM Membedai Labuan kini menempatkan empat buah pesawat C130 Hercules.
Sebuah pesawat angkut TUDM C130 Hercules daripada No 20 Squadron menghadapi masalah ‘landing gear’ – ‘starboard side’ yang menyebabkan pesawat tidak dapat mendarat secara normal pada pukul 5.15 petang semalam dan setelah enam jam berlegar untuk membakar minyak di udara, pesawat berkenaan akhirya mendarat cemas dengan selamat.
Pesawat berkenaan dalam tugasan latihan lanjutan ke Pangkalan Udara Kuching, dan sebaik sahaja pesawat itu berlepas, juruterbang mendapati ada masalah teknikal dan telah berusaha menggunakan ‘backup system’ namun gagal.
Katanya berikutan pendaratan cemas itu, Lapangan Terbang Labuan telah ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dibuat dan ada juga penerbangan yang dibatalkan. – Bernama