PATTAYA, 19 Nov – Penggunaan aplikasi mudah alih K3M iaitu Kesedaran, Keselamatan, Komuniti Maritim, yang berjaya membantu memelihara keselamatan maritim di Malaysia, boleh diperluas ke negara-negara Asean.
Aplikasi itu boleh digunakan dalam usaha pemuliharaan dan penjagaan kehidupan marin, dengan memudahkan laporan serta tindakan segera bagi membanteras sebarang aktiviti yang menjejaskan hidupan marin
Katanya beliau telah memberi penerangan tentang penggunaan aplikasi mudah alih K3M itu pada Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Laut Asean Ke-11 di sini, hari ini.
“Saya memberi penerangan tentang aplikasi K3M yang dilaksanakan kita kerana sistem itu berpotensi untuk diperluas penggunaannya ke negara-negara Asean,” katanya kepada Bernama selepas berakhirnya mesyuarat itu.
Menurutnya sehingga kini, sebanyak 2,607 komuniti maritim di Malaysia menyertai aplikasi K3M itu.
Mesyuarat Panglima Tentera Laut Asean diadakan sempena acara ‘International Fleet Review 2017’ (IFR) di Pattaya bersempena penubuhan 50 tahun Asean. Sebanyak 26 kapal tentera laut dari 19 negara menyertainya.
Seramai 18 Panglima Tentera Laut dan wakil daripada 22 negara turut menyertai IFR 2017 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwan yang juga Menteri Pertahanan pagi tadi.
Ahmad Kamarulzaman berkata selain K3M, beliau turut memberi penerangan tentang usaha kerajaan menerusi 1Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) dalam memelihara biodiversiti marin di Malaysia.
1MBEON merupakan usaha bersama di antara Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan TLDM serta agensi-agensi penguatkuasaan maritim negara lain bagi memelihara khazanah marin daripada kegiatan seperti penangkapan ikan secara haram.
Mengenai IFR 2017, yang bermula sejak 13 Nov lepas dan berakhir Rabu ini, beliau berkata TLDM menghantar kapal friget KD Lekiu serta Kapal Latihan Gagah Samudera.
Selepas berakhirnya IFR 2017, kedua-kedua kapal itu bersama-sama 250 anak kapal akan ke Vietnam bagi menyertai latihan operasi, katanya.
Menurutnya kehadiran mereka di Vietnam adalah sebahagian daripada usaha diplomasi pertahanan. – Bernama