VILNIUS, 1 APRIL – 3 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) disahkan maut manakala seorang lagi hilang dalam insiden kenderaan tentera yang tenggelam di sebuah paya lumpur di Lithuania.
Pihak U.S. Army Europe and Africa dalam satu kenyataan berkata, kenderaan kembalik (recovery vehicle) M88A2 Hercules dilaporkan hilang semenjak 25 Mac lalu ketika melaksanakan misi membaiki dan menunda sebuah lagi kenderaan taktikal. Bagaimanapun, kenderaan perisai M88A2 Hercules yang mereka naiki didapati tenggelam di sebuah kawasan air pada awal pagi 26 Mac.
Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan oleh unit tentera AS dengan bantuan Angkatan Tentera Lithuania serta pihak penguatkuasaan Lithuania. Kenderaan tersebut berjaya dikeluarkan dari kawasan paya itu pada awal pagi 31 Mac selepas usaha menyelamat yang berlarutan selama 6 hari.
“Ini adalah hari yang sangat menyedihkan. Kehilangan ini amat dirasai oleh semua anggota Task Force Iron dan Divisyen Infantri Ke-3. Namun, usaha mencari tidak akan berhenti sehingga semua ditemui,” kata Mejar Jeneral Curtis Taylor, Komander Task Force Iron dan Divisyen Perisai Ke-1 dalam satu kenyataan.

Kenderaan kembalik M88A2 Hercules berupaya untuk mengangkat beban sehingga 70 tan. Foto: 8th Army
Punca kejadian masih dalam siasatan oleh pihak tentera AS dan pihak berkuasa Lithuania.
Kesemua anggota tentera AS yang terlibat dalam insiden malang itu ditugaskan misi Operation Atlantic Resolve. Operasi ini merupakan atur gerak tentera AS ke Eropah pada 2014, selepas peperangan tercetus di timur Ukraine pada ketika itu.
M88A2 Hercules merupakan kenderaan perisai berat yang direka khas untuk misi pemulihan dan penundaan kenderaan perisai lain. Ia sering digunakan dalam operasi ketenteraan untuk mengangkut kenderaan yang rosak atau terperangkap di medan pertempuran.
Dilengkapi dengan winch berat, kren hidraulik, serta peralatan pemulihan lain, M88A2 mampu mengendalikan kenderaan yang berat sehingga 70 tan. Berat kenderaan ini pula adalah 63.5 tan. – airtimes.my
#AirTimes #Global